KEPENTINGAN PENGAMBILAN SARAPAN PAGI
Barangkali ramai di antara kita yang tidak menyedari akan kepentingan sarapan pagi kepada kesihatan tubuh badan. Sarapan pagi adalah suatu perkara yang sepatutnya dijadikan kelaziman pada setiap hari. Ia merupakan satu kemestian yang tidak boleh dipandang enteng. Pengambilan sarapan pagi akan membekalkan tenaga agar dapat menjalankan segala aktiviti sepanjang hari dengan cergas dan produktif. Memulakan hari dengan mengalaskan perut adalah penting bagi membantu seseorang itu cergas, berfikir dengan cerdas, aktif dan menjadi penentu kepada suasana sepanjang hari tersebut.
Apabila kita bangun daripada tidur, aras glukosa dalam darah agak rendah. Jadi, dengan pengambilan makanan yang berkhasiat dan seimbang sewaktu sarapan pagi akan membekalkan tenaga yang mencukupi untuk memulakan hari dengan cergas. Ini kerana, badan kita memerlukan glukosa dalam darah untuk menjana tenaga. Glukosa pula dapat diperolehi daripada makanan yang kita makan. Jika bekalan glukosa ke otak mencukupi, ia membuatkan seseorang cerdas, cergas dan aktif. Tetapi jika glukosa tidak mencukupi dalam badan, maka seseorang akan menjadi tidak aktif, otak mudah letih, malas dan tidak berupaya menjalankan aktiviti seharian dengan jayanya.
Jadi tidak hairanlah jika kanak-kanak sekolah yang tidak sempat bersarapan akan menjadi kurang aktif berbanding yang bersarapan. Situasi inilah yang berlaku kepada kanak-kanak di Malaysia pada hari ini di mana satu daripada tiga kanak-kanak sekolah rendah pergi ke sekolah dengan perut kosong. Disebabkan kesibukan dan kesuntukan masa ibu bapa pada sebelah pagi akhirnya anak-anak menjadi mangsa tidak sempat untuk bersarapan. Tidak mustahil, ia juga akan menjejaskan mutu pembelajaran mereka di sekolah. Oleh itu, para ibu bapa, cuba tanya diri anda, adakah anda bersarapan pagi setiap hari dan adakah anda telah mengabaikan anak-anak untuk bersarapan pagi sebelum memulakan pelajaran di sekolah? Ayuh, mulakan perubahan tabiat untuk bersarapan pada waktu persekolahan baru bermula ini agar ia menjadi satu kebiasaan untuk hari-hari yang seterusnya. Satu kajian dalam Jurnal Penyelidikan Obesiti mendapati bahawa sebanyak 78 peratus daripada responden telah berjaya mengurangkan berat badan dan mengekalkan berat badan hasil daripada pengambilan sarapan pagi secara berterusan.
Sarapan pagi tidak dapat digantikan dengan makan tengah hari. Oleh itu cuba usahakan juga mencari waktu untuk bersarapan pagi walaupun hanya dengan segelas susu. Makan lebih pada waktu tengah hari juga tidak dapat menggantikan keistimewaan bagi yang bersarapan pagi. Ini kerana tabiat ini juga akan menimbulkan masalah kesihatan. Tidak mengambil makanan pada waktu pagi bermakna seseorang telah “skip meal” yang menyebabkan kecenderungan makan lebih banyak selepas itu. Ini disebabkan tahap kelaparan yang tinggi akibat tidak mengambil sebarang makanan pada waktu sebelumnya menyumbang kepada makan lebih banyak karbohidrat yang dapat memberikan tenaga. Situasi inilah yang menyebabkan seseorang mengambil kalori yang berlebihan dan akhirnya menyumbang kepada masalah obesiti.
Pada hari ini, barangkali ramai di antara kita yang tidak mengambil sarapan pagi kerana membuat alasan waktu yang terhad dan menganggapnya ia tidak penting. Memperuntukkan waktu untuk bersarapan adalah kunci utama kepada permulaan hari yang baik dan kehidupan yang sihat. Maka, pemilihan makanan untuk bersarapan juga perlu dititikberatkan. Penyediaan makanan untuk bersarapan pagi seharusnya tidak menjadi penghalang. Ini kerana penyediaan hidangan yang ringkas dapat membantu seseorang yang kesuntukan masa.
So. Mulai esok lepas gosok gigi, benda pertama adalah SARAPAN.
Jom sertai forum untuk mendapat lebih banyak info. Klik Sini!!
Pelbagai info menarik mengenai pelbagai penyakit berbahaya:
http://thetole.org/MalayHerbalMedicine/index.html