PERASAAN MARAH DAN KESIHATAN MENTAL

MARAH

Perasaan Marah dan Kesihatan Mental Dalam jangka masa yang tidak berapa lama dulu, masyarakat kita telah dikejutkan dengan satu berita yang amat menyedihkan yang melibatkan kematian seorang pelajar tahun satu sebuah sekolah di Utara tanah air akibat angkara seorang guru di sekolahnya. Beliau telah dibelasah oleh gurunya kerana tuduhan mencuri wang yang mengakibatkan beliau cedera parah dan koma sebelum meninggal. Akibat kejadian ini juga, guru terbabit telah dijatuhkan hukuman penjara oleh mahkamah setelah mengaku bersalah di atas perbuatannya.

Rata-rata anggota masyarakat melihat peristiwa ini sebagai satu dari beberapa rentetan masalah yang dilihat sebagai kes yang amat terpencil dan amat jarang berlaku di dalam masyarakat. Lantaran itu, ia hanya dipandang sepi, di toleh sekali-sekala, atau kecohnya sekadar bermusim dan hanya untuk satu tempoh yang amat singkat dan terhad. Ia mungkin akan memberi atau mungkin juga tidak akan memberi apa-apa impak yang besar mana pun dalam masyarakat. Kesudahannya, ia pasti akan berakhir begitu sahaja, dan tiada satu strategi khusus bagi merawat, memulih, mengawasi, mahupun mencegahnya dari berulang di masa akan datang. Sudah pasti, hukuman yang setimpal telah dijatuhkan ke atas pesalah. Dan ia kelihatannya sehingga setakat itu sahaja. Jadi, adakah ini memadai? Apakah yang akan terjadi jika peristiwa yang sama berulang. Ada kemungkinan ia akan berulang memandangkan history repeats itself iaitu sejarah akan berulang. Jadi apakah langkah pencegahan yang telah disediakan? Tambahan pula, bukan semua manusia yang ada di sekeliling kita bertaraf malaikat. Jika semua manusia itu baik, ia amat bagus, dan tiadalah polis atau mahkamah ataupun undang-undang, serta akan amanlah negara kita.

Oleh kerana kejadian itu telah berlaku, ia perlu dilihat dari banyak aspek dan sudut yang pelbagai, berdasarkan kemampuan kita sebagai anggota masyarakat yang ingin melihat kesejahteraan itu wujud dan dilaksanakan, terutamanya berkaitan dengan kesihatan mental. Ini amat penting, kerana tahap kesihatan mental anggota masyarakat itu turut menyumbang kepada keamanan dan kesejahteraan hidup dalam masyarakat. Tetapi apakah hubungkait kejadian berkenaan dengan kesihatan mental? Memang ia ada hubungkait yang amat rapat. Terutamanya berkaitan dengan emosi atau perasaan marah serta kemampuan seseorang untuk mengawal sifat marahnya. Malah, kejadian yang telah berlaku itu juga sebenarnya berpunca dari perasaan memberontak dan marah yang tidak dapat dikawal dengan kaedah yang sewajarnya.

MARAH1

 

Seterusnya, adakah mereka yang gagal menguasai sifat marah itu adalah orang yang sakit atau seorang pesakit mental? Walaupun sifat marah itu boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, kita perlu juga memahami adakah ia sebenarnya satu penyakit, atau sekadar satu reaksi dan adakah reaksi itu sesuatu yang normal atau sebaliknya. Pandangan oleh pakar-pakar berkaitan dan hasil dari beberapa kajian saintifik yang telah dilakukan menunjukkan bahawa sifat marah itu boleh menjadi positif, dan ia juga boleh menjadi negatif, bergantung kepada situasi. Namun yang mendatangkan masalah ialah apabila sifat marah itu menjadi negatif secara melampau yang akhirnya gagal dikawal serta terus mencetuskan pelbagai permasalahan yang buruk. Ia tiada kaitan dengan rasa marah itu, sama ada ia positif atau negatif, tetapi ia berkaitan dengan cara atau kaedah kawalan terhadap rasa marah itu. Ia amat bergantung kepada sama ada kaedah atau cara kawalannya merupakan sesuatu yang produktif atau destruktif. Malah, permasalahan utama di kalangan pesakit mental ialah kegagalan atau ketidakupayaan mereka untuk mengawal tingkahlaku yang negatif, reaksi emosi yang keterlaluan ataupun pemikiran tidak rasional yang telah menguasai hidup mereka sekian lama.

Kesihatan mental sebenarnya bertujuan untuk menjamin individu atau masyarakat untuk memiliki daya kawalan yang baik terhadap emosi mereka sendiri dan seterusnya mampu mengimbangi emosi marah dengan kualiti aqal atau minda yang waras dan rasional. Tanpa menyalahkan latarbelakang mana-mana individu, keturunan mereka, tahap pendidikan atau sistem kepercayaan mereka, cara mereka dibesarkan dan sebagainya, selagi mereka bernama manusia, maka itulah sifatnya, di mana mereka ini perlu sering diberi peringatan, tazkirah, nasihat dan panduan, agar tidak sesekali lalai dan alpa dalam menjalani kehidupan. Maka itu, perlu ada strategi, iaitu strategi khusus bagi mendidik, mencegah dan memulihkan mereka yang gagal mengawal emosi marah.

Sememangnya sudah ramai dari kalangan kita yang maklum akan kesan buruk emosi marah yang terlampau dan tidak terkawal. Jika tidak dikawal dengan baik, ia akan memburukkan situasi, memberi kemudharatan kepada kesihatan fizikal dan mental, malah lebih teruk apabila ia mengundang jenayah yang sepatutnya dapat dielakkan sejak awal. Namun malangnya, tidak ramai yang tahu cara untuk mengawal perasaan atau emosi marah dengan cara yang produktif, atau dengan cara yang tidak mendatangkan kerosakan kepada diri sendiri dan orang lain.

Memang perasaan marah itu bersifat semulajadi, dan kita dilahirkan dengan parasaan itu. Namun pada masa yang sama, kita tidak dilahirkan dengan kemahiran untuk mengendalikan rasa marah itu. Sebaliknya kita perlu mempelajari kemahiran tersebut yang hanya dapat diperolehi apabila kita telah lama dilahirkan, menjadi dewasa, setelah bersekolah dan bergaul serta banyak membaca tentangnya. Malah di kalangan kita pun masih ada lagi yang tidak mampu menguasai kemahiran mengawal marah ini walaupun hidupnya telah melebihi separuh abad. Kita sekadar berharap bahawa masyarakat kita itu sendiri yang akan menjadi dewasa dan matang serta mampu menguruskan sikap marah. Tetapi kebanyakannya, harapan ini bukanlah satu kenyataan. Malah, mereka yang panas baran pula dilihat datangnya dari pelbagai latarbelakang kehidupan, termasuklah dari institusi keagamaan dan madrasah, kalangan ilmuan dan ahli intelek serta sebagainya. Apa dan di mana silapnya. Adakah mereka itu lemah imannya? Sebagai makhluk, sudah pasti ini bukan urusan kita untuk menilai atau memberi jawapannya. Apa yang boleh kita lakukan ialah menguasai kemahiran untuk mengawal rasa marah. Tetapi bagaimana dan siapakah yang harus mempelajarinya?


MARAH2

Hakikatnya setiap individu mempunyai tahap kawalan marah yang berbeza-beza dan ia bergantung kepada pelbagai sebab, kebanyakannya adalah diwarisi dalam keluarga. Wujud peranan keluarga dalam aspek ini dan ia merupakan kesan dari faktor persekitaran, manakala peranan faktor genetik pula memang tidak dapat dinafikan. Dalam merangka keperluan pengurusan kemarahan, ia meliputi usaha mengenalpasti tahap kecenderungan reaksi marah setiap individu, dan sejauh mana seseorang individu akan bertindak secara impulsif atau agresif ketika marah, serta kecenderungan hilang kewarasan ketika marah. Setiap individu perlu menjalani ujian saringan seperti ini, dan seterusnya langkah pencegahan seperti strategi yang produktif dalam kawalan kemarahan juga perlu dipelajari.

[Dipetik dari IKIM.FM]

Jom sertai forum untuk mendapat lebih banyak info. Klik Sini!!

Pelbagai info menarik mengenai pelbagai penyakit berbahaya:

http://thetole.org/MalayHerbalMedicine/index.html

fbSihat Bersama TCM

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *